Friday, January 3, 2014

Sinergi Ketaqwaan


Bantu Membantu dalam Perkara Kebaikan dan Ketakwaan
Hanya Orang Bertaqwa Melakukan Kebajikan


Sudah menjadi lumrah setiap pekerjaan di dunia ini tidak mudah kecuali dengan sikap tolong-menolong dan bantu-membantu. Sebagaimana manusia bertolong bantu melakukan kebaikan, kita juga dapati adanya golongan lain yang bertolong bantu melakukan kejahatan! Bertuahlah mereka yang melakukan kebaikan, dan rugilah mereka yang melakukan kejahatan.

   Imam al-Nawawi membahaskan topik ini dalam kitab masyurnya Riyadhu Salihi dalam bab “Bantu membantu dalam kebaikan dan ketakwaan.”

   Beliau  memulakan bab ini dengan sepotong ayat daripada surah al-Maidah ayat ketiga yang bermaksud “Dan bertolong menolonglah kamu di atas kebaikan dan ketaqwaan.”

   Apa yang menarik daripada ayat ini ialah penggunaan perkataan “taqwa” selepas perkataan “bir”. “Al-Bir” membawa maksud setiap perkara yang baik. Manakala “al-taqwa” membawa maksud ketaqwaan kepada Allah s.w.t..

   Terdapat pelbagai tafsiran yang boleh kita nyatakan tentang sebab perkataan “al-Bir” digandingkan dengan perkataan “al-taqwa”. Yang pasti, seorang Muslim dan Mukmin pasti akan sentiasa mencari perkara yang “baik” dan perkara iu juga pasti membawanya kepada “ketaqwaan”. Jika ada perkara yang dilihat “baik” tetapi tidak membawa kepada “taqwa”, seorang Muslim dan Mukmin seharusnya tidak menghampirinya kerana ia hanyalah “baik” pada zahirnya tetapi tidak ada nilai “taqwa” di sisi Allah s.w.t..


Bantuan Kebajikan Beroleh Ganjaran, Bantuan Kejahatan Diazab Dosa

Al-Nawawi seterusnya menghuraikan surah al-Asr untuk dikaitkan dengan topik ini. Al-Syafii mengulas tentang surah al-Asr  ini sebagai: “Sesungguhnya ramai manusia lalai daripada menghayati surah ini”
   Mari kita lihat sepintas lalu maksud ayat-ayatnya:

   Demi masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian . Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh. Dan mereka berpesan dengan kebenaran dan mereka berpesan dengan kesabaran.” (Surah al-Asr 103: 1-3)

Surah ini dengan jelas memberikan kemuliaan yang besar kepada orang yang memiliki empat cirri dan sifat:


  • Beriman dengan setulus hati.
  • Beramal dengan amalan yang diperintahkan Allah.
  • Sentiasa mengingatkan satu sama lain tentang kebenaran iaitu Islam.
  • Sentiasa mengingatkan satu sama lain agar bersabar dalam mentaati Allah s.w.t..


   Perkara yang ingin diberikan tumpuan oleh Imam al-Nawawi melalui surah ini ialah perkara ketiga dan keempat yang melambangkan sikap orang beriman yang sentiasa menjadi pembantu kepada saudara seagamanya.
    Seterusnya al-Nawawi menyebut pula empat hadis yang berkaitan dengan sikap bantu membantu dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan.

Bantuan 1

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, menyatakan bahawa orang yang membantu menyediakan kelengkapan untuk seorang Muslim keluar berjihad., dirinya juga diberi ganjaran seperti orang berjihad. Begitu juga sesiapa yang menjaga kebajikan keluarga yang ditinggalkan tentera yang keluar berjihad, Allah s.w.t. juga memberikan kepadanya ganjaran seperti orang yang berjihad.

   Begitulah keadilan Allah s.w.t. dalam memberikan ganjaran kerana sikap ingin membantu setakat yang mampu. Mungkin ada antara kita yang tidak mampu untuk melakukan banyak perkara sendiri,janganlah kita sia-siakan kemampuan kita membantu orang lain walaupun sedikit. Setiap bantuan kita ada nilainya di sisi Allah s.w.t..


Bantuan 2

Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim membawa maksud yang sama.
Ketika Rasulullah s.a.w. hendak menghantar wakil ke perkampungan Bani Lihyan, rasulullaj s.a.w. menyuruh agar seorang daripada dua orang Muslim untuk pergi. Namun Rasulullah s.a.w. menyatakan ganjaran pahala dikongsi bersama antara mereka berdua.

   Ini kerana kedua-duaya saling ingin membantu dan bekerjasama dalam melakukan perkara kebaikan, namun keadaan memaksa dan hanya seorang sahaja dibenarkan pergi ke tempat yang ditetapkan.


Bantuan 3

Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim pula adalah tentang seorang wanita yang membawa anaknya yang masih kecil untuk menunaikan haji. Lalu dia bertanya kepada Rasulullah s.a.w., apakah anak ini juga mendapat pahala haji? Baginda s.a.w. menjawab dengan jawapan yang amat indah (yang bermaksud): “Ya, dan untukmu juga ganjaran daripada Allah.”

   Begitulah keadaannya apabila kita membantu orang yang melakukan ibadah atau melakukan sebarang kebaikan, kita pasti mendapat ganjaran yang sewajarnya daripada Allah s.w.t. kerana kita secara tidak langsung memudahkan dan melancarkan urusan kebaikan tersebut. Tanpa kita, mungkin tiada siapa yang dapat melakukan kebaikan.


Bantuan 4

Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Mulim pula memberitahu tentang ganjaran  pahala yang diperoleh oleh pemegang amanah sekiranya melaksanakan amanah yang diberikan kepadanya dengan jujur. Misalnya seorang yang membantu rakannya menyerahkan derma atau zakatnya kepada rumah anak-anak yatim. Walaupun tidak mengeluarkan wangnya sendiri dan hanya melaksanakan apa yang diamanahkan namun atas bantuannya itu, dia diberi ganjaran oleh Allah s.w.t. seolah-olah dia memberikan sumbangan dengan wangnya sendiri.

Maka setelah kita melihat beberapa ayat dan hadis ini, tidakkah ada di hati kita keinginan untuk membantu orang lain melakukan kebaikan dan ketaqwaan? Ayuh,bangunlah dan bantulah, biarpun ia terlalu kecil di mata manusia, namun ia tetap dinilai dengan ganjaran yang besar di sisi Allah s.w.t..


INFO ASAS TENTANG HADIS

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘matan hadis’?

Matan ialah teks hadis dan ia merupakan penghujung rantaian hadis atau sanad. Jika kita membaca nama-nama periwayat bermula daripada Imam al-Bukhari (pengumpul hadis), ia akan berakhir dengan nama seorang sahabat nabi dan selepas beliau, kita akan membaca teks atau matan hadis.

Bilakah hadis mula ditulis dan dibukukan?

   Hadis mula ditulis sejak zaman Rasulullah s.a.w. oleh sebahagian daripada sahabat Baginda. Penulisan semakin banyak berlaku sepanjang zaman sehinggalah tiba zaman pembukuan yang teratur dan lahirlah buku-buku hadis terkemuka seperti Musnad Ahmad, Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim dan lain-lain. 
Apakah yang dimaksudkan ‘sanad hadis’?

Sanad ialah rantaian periwayat (rawi) yang meriwayatkan hadis. Rantaian ini dimulai dengan sahabat Nabi yang merupakan orang pertama menerima hadis itu daripada Baginda. Dia menyampaikan kepada seorang yang lain, dan begitulah seterusnya dia pula menyampaikan kepada orang yang berikutnya sepanjang zaman. Keseluruhan rantaian periwayat ini dinamakan sanad hadis. 
Apakah perbezaan ‘hadis sahih’ dan ‘hadis daif’?

Istilah “hadis sahih” digunakan oleh ulama pengkaji hadis dengan maksud hadis yang benar-benar datang daripada Nabi Muhammad s.a.w., selepas kajian dan penyelidikan. Manakala istilah “hadis daif” pula digunakan oleh ulama hadis dengan maksud hadis yang tidak dapat dipastikan kebenarannya daripada Nabi Muhammad s.a.w., selepas kajian dan penyelidikan.

Writing is Magic