Pandangan ahli agama dan saintis boleh diintegrasikan (disepadukan) dalam mencari punca berlakunya bencana alam, gejala sosial, penyakit-penyakit kronik, jenayah dan lain-lain malapetaka dalam kehidupan ini.
Jangan sekali-kali diletakkan pandangan para saintis dan ahli agama di titik konflik, sehingga seolah-olah agama dan sains itu bertentangan. Padahal hubungan antara agama (Islam) dan sains adalah dua perkara yang sangat serasi dan harmoni. Jika kita bijak memanfaatkan hubungan ini, kita bukan sahaja selamat hidup di dunia malah akan selamat juga di akhirat.
Alam mematuhi hukum Allah
Bencana alam misalnya, menurut pakar sains, adalah disebabkan hukum alam “law of nature” dilanggar. Apabila ekosistem jagat raya dan kehidupan dikacau , dunia terdedah kepada bencana dan malapetaka. Pemugaran hutan tanpa usaha pemuliharaannya mendedahkan kepada banjir, tanah runtuh atau kemarau. Begitu juga penarahan bukit-bukau, gunung dan penambakan pantai yang melanggar hukum fizik megakibatkan tanah runtuh, bah, pemanasan global dan lain-lain lagi.
Dalam Islam “law of nature” ini dikenali sebagai sunnatullah. Hukum ini juga hakikatnya hukum Allah, kerana ia ditetapkan oleh Allah untuk mengatur alam ini. Jika hukum Allah ini dilanggar maka tunggulah saat kehancurannya. Keseimbangan, kestabilan dan keharmonian alam kosmos (yang teratur) ini diamanahkan kepada manusia sebagai khalifah di muka bumi untuk diatur dan ditadbir.Manusia dikurniakan ilmu akal (acquired knowledge – sains, matematik dan lain-lain ) untuk memahami hukum ini. Jangan sekali-kali membangun dan menguruskan pembangunan alam dengan melanggar hukum alam itu. Buruk padahnya!
Manakala bagi ahli-ahli agama pula, bencana alam mempunyai kaitan yang rapat anatara perlakuan atau sikap manusia dengan Tuhan yang Maha Pencipta. Menurut ahli agama, Allah “berbicara” dengan manusia melalui tiga cara. Pertama, melalui ayat maqruah (ayat Quran) yang mengandungi hukum syariatullah.Inilah kalam Allah yang diturunkan kepada para rasul, khususnya nabi Muhammad s.a.w. Kedua, melalui ayat manzurah (kejadian dan penciptaan alam nyata) yang mengandungi hukum sunnatullah. Dan yang ketiga, Tuhan “berbicara” melalui ayyamullah (hari-hari Allah) yakni kejadian dan peristiwa yang memaparkan qadak dan qadar-Nya.
Engkar syariat undang bencana
Menurut ahli agama, bencana alam boleh berlaku apabila manusia melanggar hukum syariatullah yakni dengan meninggalkan apa yang diperintah dan melakukan yang diharamkan. Allah telah mengisahkan bagaimana kaum-kaum terdahulu dihancurkan impak dosa-dosa mereka. Allah berfirman:
“Maka masing-masing (mereka itu) Kami seksa disebabkan dosanya, maka di antara mereka ada yang kami timpakan kepadanya hujan batu kerikil dan di atara mereka ada yang ditimpa suara keras yang mengguntur, dan di antara mereka ada yang Kami benamkan ke dalam bumi, dan di antara merekan ada yang Kami tenggelamkan, dan Allah sekali-kali tidak hendak menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.” (Al-Ankabut: 40)
Bencana alam seperti tsunami, banjir dan kemarau hakikatnya adalah Ayyamullah (peristiwa dan kejadian) yakni “bicara” Allah yang mengandungi nilai didikan kepada manusia. Jika itu dapat difahami, dihayati dan panduan dijadikan, maka hidup manusia pati akan lebih tenang dan terarah. Bencana alam bukanlah fenomena alam biasa seperti anggapan sesetengah pihak.
Peringatan di sebalik bencana
Tidak ada seorang pun yang sukakan bencana alam. Namun, tidak ada seorang pun yang dapat menghalangkan apabila ia datang menimpa. Hingga saat ini kemajuan sains dan teknologi belumdapat tahu satu formula untuk mengatasi bencana-bencana alam. Gempa bumi misalnya,tidak dapat dielakkan – ia Cuma dapat diramalkan atau dikesan kemungkinan bila berlakunya. Begitu juga rebut taufan, kemarau dan banjir. Yang ironisnya, sering terjadi bencana alam yang tidak dapat diramalkan sama sekali. Ia datang tiba-tiba. Secara langsung atau tidak ini adalah “mesej” daripada Allah s.w.t. agar manusia insaf akan kelemahan, kemungkaran dan kejahilannya. Firman Allah:
“Dan Kami (Allah) timpakan kepada mereka azab supaya mereka kembali ke jala yang benar.” (Surah al-Zukhruf 43: 48)
Justeru, ahli-ahli agama sering melihat di sebalik bencana alam itu ada banyak peringatan atau ‘ibrah' daripada Allah s.w.t. yang perlu disedari dan difahami oleh manusia. Mengapa bencana alam ini terjadi? Apakah hikmah disebaliknya? Dan bagaimana cara sebaik-baik menghadapinya?
Bukan hanya bencana alam malah malapetaka yang lain seperti berlakunya penyakit-penyakit kronik seperti AIDS, kemiskinan, kezaliman dan lain-lain lagi juga adalah akibat langsung daripada perbuatan dosa manusia. Perhatikan hadis ini:
“Hai golongan Muhajirin, ada lima perkara jika berlaku kepada golongan kamu – maka aku berlindung kepada Allah bila hal itu terjadi kepada kamu – maka aku berlindung kepada Allah bila hal itu terjadi kepada kamu – apabila suatu kaum melakukan perzinaan secara terang-terangan maka mereka akan diserang oleh penyakit yang belum pernah dialami oleh nenek moyang mereka. Bila mereka mengurangi timbangan dan takaran, mereka akan dihukum dengan kepapaan dan kemiskinan serta kezaliman pihak penguasa. Setiap mereka yang enggan membayar zakat, mereka akan terhalang beroleh hujan dari langit. Dan kalau kerana tidak adanya haiwan dan binatang ternak, tidaklah akan diturunkan hujan. Setiap mereka yang melanggar janji Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan dijajah oleh musuh daripada bangsa lain, yang akan merampas sebahagian daripada harta mereka. Dan selama para pemimpin tidak menjalankan hukum-hukum yang terdapat dalam Kitabullah, maka sengketa akan berlaku sesama mereka.” (Riwayat Ibn Majah dan al-Baihaqi)
Cegah dengan iman dan taqwa
Sekarang, jelaslah bahawa bencana dan malapetaka dalam hidup ini bukanlah satu perkara yang berkait dengan soal-soal fizikal dan material sahaja tetapi ia mempunyai pertalian yang erat dengan soal-soal dalaman manusia seperti iman, amal ibadah, akhlak taat atau derhakanya manusia kepada Allah s.w.t.
Oleh sebab itu, di samping kita sibuk dengan pelbagai usaha lahiriah untuk mengelakkan berlakunya bencana alam, gejala sosial, jenayah, dan lain-lain, kita juga jangan sekali-kali lupa bermuhasabah (secara individu atau kumpulan) tentang hubungan rohani kita dengan Allah yakni yang berkait dengan dosa dan pahala, makruf dan mungkar, taat dan derhaka kita kepada Allah s.w.t.
Tidak ada satu kemungkaran yang dilakukan secara terang-terangan, secara beramai-ramai, tanpa pencengahan daripada ulama-ulama – melainkan pasti Allah timpakan azab seksa-Nya sebagai mehnah (didikan Allah secara langsung). Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Apabila harta baitulmal tidak dibahagikan kepada yang hak, dan amanah menjadi tawanan orang ,dan zakat dipandang sebagai stau denda (paksaan), belajar ilmu agama bukan kerana Allah, suami taatkan isteri, derhaka kepada ibu bapa, seseorang lebih memuliakan kawan daripada bapanya, bersuara keras di dalam masjid, orang fasiq menjadi ketua, orang yang hina menjadi pemimin, dimuliakan sesorang kerana takutkan kejahatannya, ramai penyanyi-penyanyi wanita, banyak alunan alat-alat muzik yang bertali, diminum arak dari berbagai-bagai jenis, orang Islam kemudian melaknat orang Islam yang awal; maka pabila berlaku perkara-perkara itu tunggulah turunnya angin taufan yang dashat, gempa bumi, sedutan bumi, bertukar rupa manusia kepada kera dan babi, lontaran-lontaran azab, dan azab akan turun satu lepas satu seperti rantai manic yang telah putus dan terburai.” (Riwayat al-Tirmizi)
Oleh itu pada ahli-ahli kerohanian, punca daripada bencana alam selain ia memang satu sunnatullah yang mesti berlaku sepanjang zaman, ialah: kederhakaan manusia kepada Allah.
Sudah sewajarnya kita tidak hanya meneropong ke langit untuk mengesan kedatangan rebut atau taufan atau menyelam lautan untuk mengesan pergerakan kerak bumi untuk mengetahui sebab-sebab berlaku bencana, tetapi selamilah juga lubuk hati, sejauh mana dosa kita dengan Allah dan manusia. Bagaimana? Mampukah kita mengesan maksiat lahir atau maksiat batin yang menjadi punca turunnya bala dan seksa?
Kemurkaan Allah lumpuhkan teknologi manusia
Justeru, sering berlaku ketika manusia leka ketawa dalam melakukan maksiat dan derhaka, ahli-ahli agama sudah tahu bahawa saat mereka menangis ketika menerima bencana, sudah semakain tiba. Pada ahli-ahli rohani tidak ada daya usaha yang paling berkesan untuk menyelamatkan manusia daripada bala bencana kecuali kembali kepada Allah, kepada Islam sebenar, lahir dn batin, sama ada yang berkait rapat dengan hablumminallah ataupun yang berkait dengan hablumminanas.
Tidak ada perlindungan yang sebaik-baiknya melainkan jaminan keselamatan daripada Allah . Contohnya, tidak ada gunung yang cukup tinggi untuk menyelamatkan diri daripada banjir besar yang telah menenggelamkan anak Nabi Nuh.
Firman Allah bermaksud: “Anaknya menjawab. ‘Aku akan mencari perlindungan ke gunung yang tinggi untuk dapat memeliharaku daripada banjir.’ Nuh berkata, ‘Tidak ada yang melindungi hari inidari azab Allah selain Allah sahaja yang Maha Penyayang .’” (Surah Hud 11: 42)
Ada kalanya kepakaran moden yang sofistikated “lumpuh” apabila berdepan dengan kemurkaan Allah. Suatu masa dahulu, Amerika, sebuah negara yang sebegitu maju itu pun terpaksa kembali kepada dukun-dukun tradisional Red Indian apabila dilanda kemarau yang panjang. Ertinya, Amerika terpaksan kembali kepada jalan-jalan “mistik” setelah jalan saintifik gagal menyelamatkan masalah. Ia terpaksa melangkah puluhan tahu ke belakang, dalam menghadapi ujian daripada Allah s.w.t.
Unprecendented! Dakwa Jabatan Geologi Amerika. Itulah ulasan awal tentang “Tsunami 26 Disember” oleh negara yang memiliki kemajuan sains dan teknologi tercanggih di dunia. Ulasan ini yang sempat saya ikuti menerusi siaran berita CNN sebaik berlakunya tragedi tersebut. Ya, siapa pun tidak menjangka gempa bumi yang berlaku dalam laut di Sumatera Utara akan membawa kemusnahan yang sangat dasyat dan hebat ke atas negara-negara Asia hinggalah ke Afrika Timur.
Mencegah lebih baik daripada mengubat. Sehubungan dengan itu, kita seharusnya sentiasa insaf, bertaubatdan berusaha menghilangkan dan menahan seksa-Nya dengan terlenih dahulu cuba menghapuskan sebab-sebab atau dosa-dosa yang boleh “mengundang” kemurkaan Allah. Kita seharusnya tidak jemu-jemu berusaha, berdakwah dan berdoa, agar umat seluruhnya bertaubat dan meninggalkan kemungkaran.
Teladanilah sikap Rasulullah s.a.w. apabila kota Madinah diselubungi awan gelap atau tanda-tanda ribut akan berlaku. Diriwayatkan Baginda akan bergegas menuju ke dalam masjid, bersolat dan bermunajat dengan rintihannya:
“Ya, Allah janganlah Engkau turunkan bala ke atas kaumku.”
Peri takut dan gentarnya Rasulullah s.a.w. terhadap bala yang mungkin menimpa akibat dosa-dosa ini ialah sikap Baginda yang menyuruh para sahabat menutupkan muka dan menundukkan kepala apabila melalui lokasi tempat berlakunya azab kepada kaun Aad dan Thamud.
Malangnya, sikap sebegini selalu dianggap remeh oleh kebanyakan kita hari ini. Jalan yang ditempuh oleh Rasulullah s.a.w. dan para salafussoleh tidak dapat dilihat oleh hati yang telah pekat dan berkarat dengan maksiat. Amaran dan peringatan sering dimomokkan. Mengaitkan dosa dan bencana dianggap fikiran kolot dan ketinggalan.
Sejarah nabi-nabi terdahulu nampaknya berulang lagi. Nuh diejek oleh umatnya ketika ia memberi peringatan tentang kedatangan banjir besar. Lut diejek dan diancam ketika ia memberi amaran datangnya seksaan Allah s.w.t. Begitu juga yang menimpa Nabi Musa, Nabi Salleh, dan nabi-nabi yang lain.
Jalan kebenaran selalunya didustakan. Yang benar dianggap salah, yang salah dianggap benar. Dunia tidak terbalik, tetapi hati dan akal manusia yang terbalik.