Wednesday, January 1, 2014

ADA APA DENGAN BAYAM





Kita sering melihat Popeye menjadi gagah perkasa apabila makan bayam. Otot-otot lengannya muncul sebaik menelan bayam. Ya, memang benar, bayam ada banyak manfaat kesihatan dan sangat baik jika dijadikan sebahagian menu keluarga. Bagaimanapun otot-otot lengan kita tidaklah akan bertukar seperti Popeye.

            Bayam mempunyai nilai nutrisi yang sangat tinggi dan luar biasa. Daunnya yang hijau itu padat dengan pelbagai vitamin dan mineral.

            Ada apa di dalam daun bayam? Mari kita lihat.

Flavonoid
            Flavonoid bertindak sebagai antioksidan, melindungi tubuh kita daripada radikal bebas. Para penyelidik menemui sekurang-kurangnya 13 sebatian flavonoid yang berbeza dan bertindak sebagai bahan antikanser.

            Flavonoid juga dikatakan dapat membantu melindungi kita daripada hilang ingatan akibat peningkatan usia.

Vitamin K
            Secawan bayam segar atau 1/5 bayam rebus, anda akan mendapat 200 peratus keperluan vitamin K harian. Vitamin K amat baik untuk kesihatan tulang. Apabila masuk ke usus, vitamin K1 dan K2 akan bertukar kepada osteocalcin. Bahan ini memegang molekul-molekul kalsium di dalam tulang. Bayam juga mengandungi kalsium dan magnesium. Kedua-dua mineral ini membina tulang. Justeru, tulang kita menjadi kuat.


Memusnahkan sel kanser – Bayam kaya dengan karotenoid. Menurut kajian yang dimuatkan di dalam ‘The Journal of Nutrition’, neoxanthin iaitu sejenis karotenoid, bertanggunjawab menyebabkan sel-sel kanser prostat musnah dengan sendiri!

Vitamin C, A dan folat
            Kandungan vitamin C dan A bayam sangat tinggi. Ia juga adalah antioksidan yang membantu mengurangkan jumlah radikal bebas.

            Vitamin A adalah antioksidan larut lemak yang membantu sistem pernafasan dan membantu menghalang kolesterol daripada terbentuk di pembuluh darah. Manakala vitamin C pula merupakan antioksidan larut air dan terkenal dapat melonjakkan sistem imun kita. Ia juga menghalang arteri daripada tersumbat.

            Secawan bayam yang membekalkan vitamin K turut membekalkan keperluan nilai vitamin A dan enam peratus keperluan vitamin C harian anda.

            Folat (vitamin B) pula sangat baik  untuk kesihatan sistem kardiovaskular. Begitu juga dengan magnesium, iaitu mineral yang membantu merendahkan tekanan darah tinggi.

Lutein
            Apakah lutein? Lutein adalah karotenoid. Bayam juga kaya dengan karotenoid yang boleh menjaga kesihatan mata. Ia melindungi mata daripada penyakit yang berkaitan dengan peningkatan usia seperti katarak dan kemerosotan makula. Ia lebih mudah diserap jika dimakan dengan sedikit lemak seperti minyak zaitun.

            Penggunaan bayam dalam resepi boleh dipelbagaikan. Bayam boleh dicincang dan ditabur ke atas hidangan seperti spageti. Ia juga amat lazat dijadikan sup sayur. Masakan mi juga amat sesuai jika ditambahkan bayam. Sesekali gantikan daun salad dengan bayam dalam penyediaan sandwic.


Writing is Magic