Tuesday, January 21, 2014

Jagalah Rezeki

Cari salah kita dahulu sebagai ibu bapa yang membentuk acuannya. Mungkin cara didikan, pendekatan, masa yang diluangkan, makanan yang diberikan atau apa sahaja yang belum betul.

Satu hari seorang bapa datang ke pejabat dan minta berjumpa dengan saya. Biasanya kalau orang tidak buat temu janji maka saya suruh datang waktu lain dan buat temu janji terlebih dahulu. Sebab masa saya sangat berharga. Kerja yang mahu disiapkan terlalu banyak. Sebab itulah saya jarang sangat masuk ke pejabat. Kalau ada di pejabat memang susah nak siapkan kerja disebabkan ada sahaja yang mengganggu. Kalau sudah ada di pejabat dan ibu bapa yang datang bertanya, “Dr. ada?”, takkan staf saya mahu berbohong pula. Mestilah kata mereka, “Ya, Dr. ada.” Lepas itu, ibu bapa akan meminta untuk berjumpa dengan saya sekejap. Hmm, sekejapnya pun tidak kurang sari satu jam. Itulah kehidupannya apabila sebahagian daripada diri ini sudah jadi milik masyarakat. Orang yang ada masalah pasti berusaha mencari bantuan. Kerjaya saya adalah pilihan saya. Apa yang saya lakukan telah ditentukan oleh Allah. Penat atau sibuk sekalipun, pelanggan tetap mesti dijaga. Melalui merekalah Allah berikan rezeki kepada kita.

Akibat Sumber Yang Haram

            Begitulah juga kisah bapa di atas tadi. Dia datang berjumpa dengan saya dan menceritakan masalah anak-anaknya. Katanya, dia ada lima orang anak semuanya. Tiga orang anak yang pertama tiada sebarang masalah. Solatnya bagus, akhlak dan sahsiahnya baik. Pencapaian akademik juga cemerlang hingga ketiga-tiganya berjaya menyambung pelajaran ke peringkat kolej dan universiti. Tetapi berbeza dengan dua orang anaknya yang terakhir, seorang lelaki dan seorang lagi perempuan. Bukan setakat malas dan tidak solat. Pencapaian akademiknya juga sangat teruk. Selalu keluar rumah dan baliknya lewat malam. Ada ketikanya awal pagi. Malah mereka sudah berani merokok dan mabuk, termasuklah yang anak perempuan itu tadi. Terus terang si bapa maklumkan pada saya bahawa dia sendiri tidak pasti sama ada anak perempuannya itu masih dara atau tidak. Dia bercerita sambil menangis. Saya segan sebab usia bapa ini sepuluh tahun lebih tua daripada saya. Namun, saya sangat empati dengan nasibnya.

            Setelah keadaan agak reda dan tenang. Saya mula bertanya pada bapa itu, “Mungkin cara tuan berbeza dalam membesarkan anak-anak, tiga anak terdahulu yang dibesarkan dengan ketegasan dan disiplin sedangkan dua anak yang kemudian lebih dimanjakan?” Jawabnya, “Tidak.” Saya bertanya lagi, “Mungkin dengan tiga anak yang terdahulu tuan punya banyak masa di rumah dan bersama dengan mereka sedangkan yang dua orang terakhir itu tuan sudah terlalu sibuk dan kurang masa?” Bapa itu termenung seketika dan jawabnya juga, “Tidak.” Hmm, saya sambung lagi, “Atau mungkin juga tiga anak yang pertama itu tuan beri sepenuh perhatian, tuan semak beg sekolah dan kerja rumahnya, tuan hadir ke sekolahnya apabila ada perjumpaan dengan guru tetapi tidak dengan anak-anak yang kemudian itu?” Dia jawab lagi, “Tidak, malah kerana mereka ada masalah masa saya lebih banyak pada mereka dan saya kerap berjumpa dan berbincang dengan guru.”

            Akhir sekali terdetik di hati saya untuk bertanya  soalan ini, “Cuba semak rezeki dan makanan yang kita bawa pulang, mungkin ada datang dari sumber yang haram?” Ketika itu wajah ayah berubah dan spontan berkata, “Ya Allah Dr., betullah ... betul. Saya bertugas dalam sebuah pasukan beruniform. Pada peringkat awal dahulu saya sangat dedikasi dan berpegang pada prinsip iaitu tidak akan mengambil rasuah. Tetapi lama-kelamaan, apabila orang kiri, kanan, atas bawah semuanya ambil rasuah macam makan nasi setiap hari, saya rasa perkara dosa itu bagaikan perkara biasa sahaja. Kali pertama saya ambil bukan banyak pun, RM50 sahaja. Masa itu, jantung saya berdegup kencang dan tangan saya menggeletar. Saya simpan duit itu dalam laci di rumah sebab takut untuk digunakan. Tetapi Allah uji saya. Satu hari anak saya sakit dan perlu beli ubat di farmasi. Duit tak ada. Saya fikir tidak apalah saya pinjam dulu. Saya berikan duit tersebut pada isteri. Memang bila dapat gaji saya letak balik RM50 dalam laci. Tapi sampai bila boleh bertahan. Lama-kelamaan ada masalah lagi, ketika itu saya pinjam tetapi sudah tidak diganti-ganti. Malah jumlahnya makin lama makin banyak sebab saya terima rasuah baru lagi. Akhirnya, ia sudah jadi kebiasaan. Saya lupa soal halal dan haram. Saya tidak fikir soal betul dan salah. Saya sudah tidak berdebar atau menggeletar lagi ketika melakukan rasuah. Iman di hati saya sudah terhakis. Inilah hasil rezeki yang saya bawa pulang dan beri makan anak isteri. Dua orang anak terakhir saya yang ketika itu masih kecik membesar dengan  duit haram. Daging-daging yang tumbuh dalam diri anak saya adalah dari sumber yang haram. Sebab itulah hatinya hitam.”

            Panjang lebar bapa itu bercerita dan saya hanya sekadar mendengar dengan baik, mengangguk-anggukkan kepala dan berasa kasihan. Ketika dia bercerita, air matanya jatuh berguguran. Susah sebenarnya bagi seorang lelaki mahu menangis tetapi bapa ini benar-benar insaf dan kesal dengan apa yang telah dilakukannya. Allah bayar tunai perbuatannya itu di dunia dan belum tahu apa azab Allah yang menanti di akhirat.

Masa Untuk Berubah

            Akhir sekali dia angkat kepala lalu bertanya, “Apa yang boleh saya lakukan sekarang Dr.?” Saya jawab, “Tuan, buatlah solat Taubat. Minta ampun pada Allah. Mengadu pada Allah sebab Allah Maha mendengar, Maha pengampun dan Maha Pemberi. Tuan berilah sedekah dengan memberi makan anak-anak yatim, dan niatkan sebagai menebus dosa dan kesilapan lalu yang memberi makan makanan haram pada anak-anak. Selepas itu tuan ambillah masa menasihati anak-anak dan bercakap baik-baik dengan mereka. Berikan masa untuk mereka berubah. Luangkan lebih masa dengan mereka dan bangunlah tengah malam, buat solat Hajat serta doakan mereka.”

            Selang beberapa minggu selepas itu bapa tersebut menelefon saya lalu berkata, “Dr. alhamdulillah syukur, anak-anak saya sudah solat dan lebih banyak masa di rumah. Mereka semakin berubah.”


            Begitulah secebis kisah kehidupan bagaimana kesannya apabila kita memberikan anak-anak makan dari sumber yang haram. Sebab itulah, apabila anal-anak bermasalah usah terus salahkan mereka. Cari salah kita dahulu sebagai ibu bapa yang membentuk acuannya. Mungkin cara didikan, pendekatan, masa yang diluangkan, makanan yang diberikan atau apa sahaja yang belum betul. Oleh itu, betulkan semua itu dahulu barulah fikirkan punca yang lain.

Writing is Magic